MELAKA, 16 Nov. 2011 – Kedatangan Islam ke
alam Melayu telah mengubah budaya, agama dan identiti masyarakat Melayu yang
sebelum itu banyak dipengaruhi oleh agama Hindu dan Buddha.
Tradisi ilmu yang
diperkenalkan oleh Islam telah memandu tamadun Melayu terutamanya dalam
menentukan hala tuju masa depan orang Melayu. Demikian kata Ketua Menteri
Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam semasa merasmikan Persidangan
Antarabangsa Tamadun Islam dan Identiti Melayu 2011 di sini hari ini.
Persidangan dua hari itu
dianjurkan Fakulti Pengajian Islam UKM dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka
melalui Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan Pertubuhan Islam, Pelajaran, Sains
dan Budaya - Islamic, Educational, Scientific and Cultural Organization
(ISESCO). Ia dihadiri seramai kira-kira 200 orang budayawan, pengkaji dan pakar
tamadun Islam dan identiti Melayu tempatan dan antarabangsa.
Persidangan itu turut diberi
kerjasama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM dan Institut Islam
Hadhari, UKM. Kerjasama ini adalah komitmen UKM untuk meningkat dan mengukuhkan
budaya ilmu di kalangan masyarakat.
Datuk Seri Mohd Ali berkata proses dan kesan
pembudayaan Islam dalam tamadun Melayu boleh dilihat dalam tradisi mereka
memperoleh pengetahuan, budaya dan seni, persekitaran sosial dan fizikal,
sistem ekonomi dan berbagai bidang lain.
Islam bukan sahaja membawa
kesan yang besar dan mendalam kepada kehidupan sosio-budaya penduduk tempatan
dan menetapkan satu sistem yang berstruktur dalam kehidupan dan gaya hidup
mereka, malah Islam juga menjadi penggerak kepada penerusan dan kesinambungan
sejarah, bahasa dan budaya orang Melayu berdekad lamanya.
Islam, katanya berkait rapat
dengan identiti orang Melayu dan dengan itu Melayu tidak boleh dipisahkan dari
Islam.
“Orang Melayu mengikut tradisinya adalah penganut agama Islam selepas kedatangannya kemari. Kesinambungan agama Islam ini diperturunkan dari generasi ke satu generasi orang Melayu dan mereka tidak mudah dipengaruhi untuk menukar kepercayaan agama kepada agama selain Islam,” tambah beliau.
“Orang Melayu mengikut tradisinya adalah penganut agama Islam selepas kedatangannya kemari. Kesinambungan agama Islam ini diperturunkan dari generasi ke satu generasi orang Melayu dan mereka tidak mudah dipengaruhi untuk menukar kepercayaan agama kepada agama selain Islam,” tambah beliau.
Dekan Fakulti Pengajian Islam
UKM, Prof Mohd Nasran Mohamad berkata fokus persidangan tertumpu kepada
pendidikan dalam tamadun Islam yang mempengaruhi budaya etnik
Melayu. Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia dan
institusi pengajian tinggi dalam menyemai nilai-nilai Islam ke dalam sistem
pendidikan negara.
“Namun begitu, usaha ini masih
menimbulkan persoalan mengenai keberkesanannya kepada pembentukan identiti
Melayu dan sejauh manakah sistem pendidikan negara dapat mengukuhkan
identiti Melayu melalui penerapan nilai-nilai Islam dari tamadun Islam,” tambah
beliau dalam ucapan aluannya.
Persidangan ini mengumpulkan
lebih daripada 60 kertas kerja dan enam (6) ucapan dasar oleh para penyelidik
universiti dari dalam dan luar negara. Tun Abdullah Ahmad Badawi, mantan
Perdana Menteri Malaysia turut diberi kehormatan untuk menyampaikan ucaptama
pada persidangan itu.
Pertemuan pakar-pakar itu diharap akan menjadi
platform untuk bertukar-tukar pandangan dan seterusnya bekerjasama dalam
penyelidikan dan penerbitan mengenai isu yang berpusatkan tamadun Islam dan
identiti Melayu.
Peserta juga dapat menggunakan
peluang persidangan itu untuk membina jaringan antara mereka mengenai isu-isu
yang tertumpu kepada tamadun Islam dan identiti Melayu intipati objektif
penganjuran persidangan itu.
No comments:
Post a Comment