Pada zaman Dinasti Shang (1500-1100SM), jelai
dan gandum merupakan bijirin utama di tanam di negara China. Petani juga
memelihara lembu, kerbau, kuda, dan kambing. Kemajuan dalam bidang ekonomi di
negara China dapat dikesan semasa dinasti Chou dan Han. Tamadun awal China di
Lembah Sungai Hwang Ho menampakkan kegiatan pertanian yang pesat. Di situ
ditanam dengan sekoi, barli, padi dan gandum. Pada zaman Dinasti Chou, terdapat
sistem pengairan dan latan pertanian yang diperbuat daripada besi. Mereka juga
mengusahakan penternakan seperti lembu, Khinzir, kambing dan ulat sutera. Pada
mulanya kegiatan ekonomi itu dilakukan sebagai sara diri tapi kemudian menjadi
komersil apabila industri tenunan telah wujud. Mereka mengusahakan tekstail dan
bulu secara komersil.
Pada zaman Dinasti Chin, sistem
timbang dan sukat mula digunakan. Kemajuan dalam sistem pengairan dan
penggunaan baja telah menambahkan pengeluaran bijirin seperti beras, gandum,
barli dan sekoi. Maharaja Han Wu Ti dari Dinasti Han telah membina tempat
menyimpan padi, membuat terusan (yang menghubungkan Sungai Yangtze dengan
Sungai Barat), parit dan tambak bagi mengawal banjir. Dinasti Han juga telah
membuat dasar memindahkan penduduk untuk membangunkan kawasan yang kurang subur
di wilayah-wilayah utara dan sempadan Mongolia. Pada tahun 198SM seramai 100,000 orang terlibat
dalam pemindahan ini. Perusahaan yang dijalankan ialah membuat tembikar,
barangan ukiran daripada kayu, gangsa dan jed serta menenun tekstil dan bulu.
Pada zaman Dinasti Han, China
menjalin hubungan perdagangan dengan India, Mesir, Mesopotamia dan Rom. China
mengeksport sutera, tembikar, barang-barang ukiran daripada kayu, gangsa ,
kulit binatang, kertas dan jed. Barang-barang buatan tangan China mendapat permintaan
yang menggalakkan dari luar negeri. Sutera dieksport ke Rom dengan jumlah yang
banyak. Selain dari Rom, sutera China juga dieksport ke Asia Tengah, Siberia
dan Timur Tengah. Barang-barang importnya pula ialah gading dan kuda baka baik
(dari negara-negara tropika), kaca, kain bulu dan linen (dari Asia Barat),
alfalfa dan anggur (dari Asia Tengah), mutiara dan karang-karangan (dari Laut
Merah). Sebenarnya, China lebih banyak mengeksport dari mengimport, menyebabkan
China bertambah kaya.