Wednesday 11 April 2012

❤Tamadun Islam Pengaruhi Identiti Melayu❤


    MELAKA, 16 Nov. 2011 – Kedatangan Islam ke alam Melayu telah mengubah budaya, agama dan identiti masyarakat Melayu yang sebelum itu banyak dipengaruhi oleh agama Hindu dan Buddha.
   
    Tradisi ilmu yang diperkenalkan oleh Islam telah memandu tamadun Melayu terutamanya dalam menentukan hala tuju masa depan orang Melayu. Demikian kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam semasa merasmikan Persidangan Antarabangsa Tamadun Islam dan Identiti Melayu 2011 di sini hari ini.
   
    Persidangan dua hari itu dianjurkan Fakulti Pengajian Islam UKM dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka melalui Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan Pertubuhan Islam, Pelajaran, Sains dan Budaya - Islamic, Educational, Scientific and Cultural Organization (ISESCO). Ia dihadiri seramai kira-kira 200 orang budayawan, pengkaji dan pakar tamadun Islam dan identiti Melayu tempatan dan antarabangsa.
   
     Persidangan itu turut diberi kerjasama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM dan Institut Islam Hadhari, UKM. Kerjasama ini adalah komitmen UKM untuk meningkat dan mengukuhkan budaya ilmu di kalangan masyarakat.
   
     Datuk Seri Mohd Ali berkata proses dan kesan pembudayaan Islam dalam tamadun Melayu boleh dilihat dalam tradisi mereka memperoleh pengetahuan, budaya dan seni, persekitaran sosial dan fizikal, sistem ekonomi dan berbagai bidang lain.
  
     Islam bukan sahaja membawa kesan yang besar dan mendalam kepada kehidupan sosio-budaya penduduk tempatan dan menetapkan satu sistem yang berstruktur dalam kehidupan dan gaya hidup mereka, malah Islam juga menjadi penggerak kepada penerusan dan kesinambungan sejarah, bahasa dan budaya orang Melayu berdekad lamanya.
    
    Islam, katanya berkait rapat dengan identiti orang Melayu dan dengan itu Melayu tidak boleh dipisahkan dari Islam.
 “Orang Melayu mengikut tradisinya adalah penganut agama Islam selepas kedatangannya kemari. Kesinambungan agama Islam ini diperturunkan dari generasi ke satu generasi orang Melayu dan mereka tidak mudah dipengaruhi untuk menukar kepercayaan agama kepada agama selain Islam,” tambah beliau.
  
     Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof Mohd Nasran Mohamad berkata fokus persidangan tertumpu kepada pendidikan dalam tamadun Islam yang mempengaruhi budaya etnik Melayu. Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia dan institusi pengajian tinggi dalam menyemai nilai-nilai Islam ke dalam sistem pendidikan negara.
   
   “Namun begitu, usaha ini masih menimbulkan persoalan mengenai keberkesanannya kepada pembentukan identiti Melayu dan sejauh manakah sistem pendidikan negara dapat mengukuhkan identiti Melayu melalui penerapan nilai-nilai Islam dari tamadun Islam,” tambah beliau dalam ucapan aluannya.
   
     Persidangan ini mengumpulkan lebih daripada 60 kertas kerja dan enam (6) ucapan dasar oleh para penyelidik universiti dari dalam dan luar negara. Tun Abdullah Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri Malaysia turut diberi kehormatan untuk menyampaikan ucaptama pada persidangan itu.
  
    Pertemuan pakar-pakar  itu diharap akan menjadi platform untuk bertukar-tukar pandangan dan seterusnya bekerjasama dalam penyelidikan dan penerbitan mengenai isu yang berpusatkan tamadun Islam dan identiti Melayu.
  
   Peserta juga dapat menggunakan peluang persidangan itu untuk membina jaringan antara mereka mengenai isu-isu yang tertumpu kepada tamadun Islam dan identiti Melayu intipati objektif penganjuran persidangan itu.