Tamadun China dipercayai bermula kira-kira pada milenium ke-6 Sebelum
Masihi (SM). Bagaimanapun, berdasarkan bukti-bukti penemuan arkeologi antara
kebudayaan-kebudayaan Neolitik (Zaman Batu Baru), yang paling awal dan
mempunyai ciri tersendiri disebut Yangshao berdasarkan nama tinggalan kampung
jenis tradisi kebudayaan ini yang terletak di Yangshao di provinsi Shaanxi.
Tapak terawal petempatan Yangshao yang dibangunkan sepenuhnya itu pula mula
muncul pada milenium ke-5SM di Banbo, Xi'an di provinsi Shaanxi. Tapak- tapak
tradisi kebudayaan Yangshao ini dijumpai di teres-teres berhampiran
cawangan-cawangan Sungai Wei dan Huanghe (The Yellow River) dan ini menunjukkan
kawasan terletaknya pusat peradaban Cina. Di kawasan ini, selama berkurun-kurun
lamanya tanah pasir halus yang dimendapkan oleh angin telah menjadi tanah loes
yang subur, lembap serta mudah untuk dikerjakan terutama dalam bidang
pertanian. Keadaan bentuk geografi ini telah mendorong dan menggalakkan
pembangunan petempatan manusia dan kegiatan pertanian.
Berdasarkan tinggalan arkeologi, didapati bahawa orang Yangshao menetap
di perkampungan kecil dengan kegiatan bertani, memelihara babi, membuat
tembikar berlukisan (paintedpottery) dan menanam mayat si mati dalam tanah
perkuburan yang khas. Makanan asasi atau ruji orang Yangshao ialah bijirin
(milet) dan ia kekal diet asas rakyat biasa di bahagian utara negara China.
Satu lagi unsur tradisi dan kesinambungan ialah peranan orang Cina dalam bidang
penternakan binatang seperti babi (dan kemudiannya ayam) sebagai diet tambahan.
Asas teknologi pertanian yang diubahsuaikan secara turun-temurun ini, juga
menyumbang terhadap asas pertumbuhan ekonomi dalam tamadun China.
Selama lebih kurang 5,000 tahun lamanya iaitu kira-kira 6 mileniumSM,
kebudayaan atau tamadun Yangshao ini telah berkembang serta terbentang di
bahagian-bahagian tengah dan ulara negara China, dan kemudiannya diganti secara
beransur-ansur oleh kebudayaan Longshan.
2) Kebudayaan Longshan dan Zaman Gangsa
Kebudayaan Longshan muncul sejak pertengahan kurun ke-2SM dan Zaman
Gangsa Awal (Bronze Age) lewat milenium ke-2SM atau awal milenium pertamaSM
merupakan kebudayaan yang lebih maju berbanding kebudayaan Yangshao. Tamadun
Longshan diberi nama berdasarkan penemuan tapak arkeologi di Longshan, di
provinsi Shandung. Manakala pusat-pusat penting peradaban Zaman Gangsa terletak
di Lembah Sungai Yangzi di provinsi Jiangxi dan juga di Sanxingdui, di provinsi
Sichuan.
Berbanding tembikar bertanda tali pintal (cord-marked) dan yang
berlukisan, tembikar Longshan (terutamanya tembikar hitam) bergantung kepada
gaya dan bentuk sebagai daya penarik estetiknya dan jarang dijumpai lukisan
hiasan seperti yang ada pada bekas-bekas Yangshao. Kualiti tembikar Longshan
yang lebih tinggi mutunya menunjukkan penggunaan mesin peroda tembikar (potter's-wheel) dalam pengeluarannya. Ciri-ciri peradaban pertanian Longshan termasuk
penanaman bijirin dengan menggunakan penyodok dan sabit.
Dalam Zaman Gangsa pula, gangsa dinilaikan sebagai simbol elit kuasa diraja dinasti Shang (1766SM-1122SM) dan tukang-tukang gangsa dihormati sebagai ahli masyarakat yang penting di negara ini. Logam gangsa dihubung kait dengan bekas-bekas ritus (ritual vessels) atau untuk upacara keagamaan selain digunakan untuk membuat loceng dan senjata. Penggunaan gangsa tersebar meluas di kalangan kaum bangsawan yang lebih rendah taraf statusnya di sepanjang tempoh dinasti Zhou (kk 1123-221SM). Artifak-artifak halus termasuk lampu dan patung-patung kecil, kesemuanya diperbuat daripada gangsa secara berterusan sepanjang era empayar tersebut. Namun begitu, pembangunan teknologi besi sejak lebih kurang 500SM telah mengehadkan perkembangan kegunaan gangsa untuk tujuan umum.
Dinasti Shang memperlihatkan dengan ketara mengenai satu fasa
pembangunan yang baru iaitu kemunculan peradaban melalui kelahiran ciri-ciri
bertamadun antaranya pembentukan negara-kota, penggunaan sistem tulisan,
peningkatan pengkhususan pekerjaan dan organisasi masyarakat yang lebih
kompleks. Peradaban Shang berpusat di bahagian utara He'nan, yang ditemui dua
tapak arkeologi di Zhengzhou dan Anyang yang memberikan maklumat sejarah
mengenai dinasti dan tamadun ini. Namun begitu, tarikh tepat peradaban Shang
dan dinasti Shang masih tidak dapat ditetapkan. Walaupun tahun 1766SM-1122SM
adalah tarikh yang diterima secara tradisi, namun terdapat bukti- bukti yang
menyokong pendapat bahawa dinasti Shang bermula kira-kira 1600SM dan berakhir
pada tahun 1027SM.
Selain penemuan inskripsi di atas tulang oracle dan kulit
kura-kura (tortoise shells) dan bekas-bekas yang diperbuat dengan gangsa rata
yang ditarik oleh kuda, tembok-tembok mengelilingi ibu kota-ibu kota dinasti
Shang, hasil penemuan arkeologi ini memperlihatkan perbezaan-perbezaan utama
antara peradaban Shang dengan peradaban-peradaban Neolitik sebelumnya.
Contoh tembikar Longshan didapati pada Zaman Gangsa |
No comments:
Post a Comment